PUTRAJAYA, 16 Mei- Persiapan menyambut ketua-ketua negara dan delegasi asing sempena Sidang Kemuncak ASEAN hujung bulan ini kini berada di fasa akhir.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, seramai 7,227 anggota polis akan digerakkan bagi memastikan kelancaran acara berkenaan.
Lebih 2,000 pegawai imigresen kini menjalani latihan di pintu masuk utama seluruh negara.
Beliau turut memaklumkan latihan awal atau simulasi akan dijalankan bermula Selasa ini.
"Dua perkara penting, satu, soal keselesaan di pintu masuk urusan imigresen. Untuk itu, kami sudah melatih lebih 2,000 staf imigresen.
"Kami mahu proses kemasukan yang lancar, bukan sahaja melibatkan pemeriksaan dokumen pasport dan perjalanan, tetapi juga aspek bagasi dan sebagainya. Itu semua akan menjadi kayu ukur kita.
"Jangan ada sebarang gangguan, mestilah benar-benar lancar, baik daripada segi pergerakan orang ('people’s mobility') mahupun barangan ('goods mobility'), khususnya melibatkan pegawai, pegawai kanan, menteri dan ketua-ketua negara.
"Kita sudah kenal pasti semua pintu masuk utama seperti KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), Bangunan Bunga Raya, termasuk Lapangan Terbang Subang, kerana ada beberapa tetamu negara yang akan datang dengan pesawat khas dan akan mendarat di sana," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Imigresen Malaysia Tahun 2024 di sini.
Tambahnya lagi, pelbagai langkah kawalan trafik akan dilaksanakan bagi menguruskan pergerakan kenderaan rasmi dan delegasi asing, terutama dengan kehadiran pemimpin ASEAN, wakil Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta Perdana Menteri China.