ALOR SETAR, 20 Januari-Pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini dijangka meningkat 5.1 peratus dan sekiranya ia berterusan pada kadar 4.5 peratus ke atas untuk beberapa tahun akan datang secara langsung akan menjadikan Malaysia negara maju.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata sehingga kini negara berada di landasan terbaik menjadi pilihan pelabur antarabangsa dan menjadi laluan pintu masuk ke ASEAN.
Ia adalah faktor mendorong pertumbuhan ekonomi negara maju berdasarkan kriteria pendapatan yang ditetapkan iaitu menjelang 2028-2029.
"Sebab itu dalam RMK 13 ini kita hendak memastikan bahawa perancangan negara itu diseimbangkan dalam semua perkara.
"Kita mengambil kira bahawa pertumbuhan ekonomi yang ada ini kita hanya perbetulkan dan perkukuhkan landasan sahaja oleh kerana minat yang ada ini, Insya-Allah perkara ini terus berlaku.
"Tumpuan kerajaan adalah untuk memastikan sistem dan juga infrastuktur penjagaan kesihatan, pendidikan rakyat itulah perlu diberi keutamaan dalam RMK 13", katanya demikian
pada sidang media selepas Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke 13 (RMK13)Negeri Kedah di sini.
Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.