fb fb fb fb fb

Jenayah scam: Kementerian Komunikasi lancar kempen kesedaran besar-besaran

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil / Foto RTM

TUMPAT, 20 Januari-Kementerian Komunikasi akan melancarkan kempen besar-besaran dalam usaha memberi kesedaran kepada orang awam mengenai jenayah scammer.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pendekatan itu akan dilakukan melalui agensi di bawah kementerian iaitu MCMC dalam tempoh terdekat.

Buat permulaan, kempen tersebut akan dilaksanakan di sekolah-sekolah dan akan diperluaskan agar orang ramai sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar tidak terpedaya atau menjadi mangsa penipuan scammer yang dilihat semakin serius memperdaya mangsa sama ada melalui panggilan telefon atau secara bersemuka.

Ke arah itu juga, Kementerian Komunikasi telah mengambil tindakan untuk melesenkan  platform-platform media sosial dengan menetapkan beberapa perkara termasuk tarif kepada jenayah scam pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia yang telah diluluskan dewan rakyat dan dewan negara baru-baru ini.

Ia diharap dapat membantu pihak polis dan juga pihak-pihak lain untuk mengambil tindakan yang lebih tegas sekaligus berusaha menurangkan jenayah scam daripada terus berlaku.

“Itulah antara sebab kenapa kita pohon supaya satu kempen besar-besaran diadakan.

"Kita mulakan di sekolah-sekolah untuk memberi penjelasan dan meningkatkan kesedaran kepada ibu bapa guru-guru dan murid-murid yang berusia bawah 13 tahun.

"Kita akan mulakan dalam masa yang tak terlalu lama.

"Saya dah minta Kementerian Komunikasi jadi penyelaras bukan hanya di kalangan agensi-agensi tetapi juga di platform media sosial yang telah atau sedang dilesenkan", katanya demikian kepada pemberita selepas Majlis İnsan Madani Di Kampung Baru Nelayan, di sini.

Hadir sama Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, pegawai-pegawai kanan kementerian dan ketua-ketua jabatan serta agensi di bawah kementerian.

Mengulas lanjut Fahmi berkata, sebelum ini Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) melaporkan lebihRM 500 juta kerugian dianggarkan akibat jenayah scam pada tahun 2023 dan kebanyakan mangsa adalah pengguna facebook.

Empat platform media sosial menjadi pilihan penjenayah siber untuk meraih keuntungan dengan menipu pengguna iaitu Facebook, Whatsaap, Telegram dan juga aplikasi TikTok menggunakan 13 hingga 14 kaedah scam yang berbeza.

Penjenayah menggunakan pelbagai taktik licik untuk memperdaya orang ramai, termasuk menawarkan peluang pelaburan palsu, meminta maklumat peribadi, atau menyamar sebagai pihak berkuasa dan seringkali menukar modus operandi agar kegiatan mereka tidak dapat dikesan.

Justeru, rakyat perlu sentiasa memeriksa kesahihan sesuatu tawaran dan tidak mudah terpedaya dengan janji-janji manis yang tidak masuk akal.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD