KUALA LUMPUR, 20 Januari – Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke London baru-baru ini dilihat sebagai langkah strategik untuk memastikan kesinambungan dan pengukuhan hubungan kerjasama antara Malaysia dan United Kingdom.
Penganalisis Politik, Profesor Datuk Dr. Sivamurugan Pandian menyifatkan pertemuan di antara kedua-dua pemimpin itu sebagai peluang memperluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan dagang utama UK.
“Pertemuan itu berpotensi mengembangkan kerjasama secara strategik merangkumi pelbagai bidang kontemporari yang relevan. Ia juga memberi manfaat bersama kepada kedua-dua negara, memastikan situasi menang-menang untuk Malaysia dan UK.
“Kestabilan yang telah dibentuk dapat diterjemahkan dalam sektor perdagangan, perniagaan, dan pertukaran idea. Ini termasuk bidang teknologi canggih, isu perubahan iklim, dan sektor transformasi yang sedang berlaku,” katanya kepada RTM.
Lawatan kerja tersebut telah mencatatkan pencapaian memberangsangkan, termasuk potensi pelaburan bernilai RM11 bilion yang dijangka memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara.