KUALA LUMPUR, 11 Disember-Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengambil tindakan selepas mengenal pasti pihak terbabit dalam kes serangan siber yang menyasarkan infrastruktur dan imej Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata semua tindakan awal sudah dilaksanakan dan dalam keadaan terkawal.
"Semua tindakan-tindakan sewajarnya telah diambil oleh pihak PERKESO daripada awal lagi dan buat masa ini semuanya dalam keadaan terkawal. Saya juga memberi jaminan bahawa pengoperasian PERKESO sedang berjalan dengan lancar," katanya kepada pemberita selepas program Jalinan Mesra Sumber Manusia bersama Media di sini.
KSM menjelaskan lagi pembayaran faedah kepada penerima berjalan seperti biasa manakala semua permohonan baharu akan diproses untuk kelulusan.
Dalam pada itu, Sivakumar berkata pihaknya akan memberi tumpuan dalam penggubalan dasar berhubung pekerja ekonomi gig.
Katanya, ekonomi gig itu giat berkembang sejak pandemik COVID-19 sehingga kini.
"Lebih ramai anak-anak muda terutamanya lebih berminat untuk menceburi bidang ekonomi gig ini dan sebagai kerajaan prihatin kita juga kena lihat kepada kebajikan dan keselamatan sosial pekerja-pekerja gig ini. Kita tidak mahu satu situasi di mana pekerja gig ditindas oleh mana-mana majikan. Oleh itu KSM juga sekarang dalam proses merangka dasar untuk pekerja gig ini," katanya.
Selain itu, Sivakumar juga berharap tiada mana-mana majikan menjadikan pekerja sebagai buruh paksa dan sekiranya terdapat aduan, pihaknya akan membuat tindakan serta merta.