fb fb fb fb fb

PICKids: Lebih 1,000 buah sekolah dijadikan PPV

 

PUTRAJAYA, 11 Februari- Bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada murid sekolah rendah, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi  Jabatan Kesihatan Negeri telah mengenal pasti 1,055 buah sekolah yang akan menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata ke semua sekolah itu  akan menjadi PPV kepada murid di sekolah tersebut dan murid daripada sekolah-sekolah berdekatan.

“Adalah dijangka jumlah PPV sekolah akan bertambah dari masa ke semasa. Ke semua PPV sekolah akan mula beroperasi selewat-lewatnya 14 Februari 2022 di seluruh negara.

“Ibu bapa atau penjaga yang mempunyai aplikasi MySejahtera perlu mendaftar kanak-kanak sebagai tanggungan dalam MySejahtera bagi mendapatkan janji temu vaksin dan sijil digital vaksinasi manakala ibu bapa atau penjaga yang tidak mempunyai aplikasi MySejahtera tidak perlu bimbang kerana tarikh dan lokasi janji temu akan dimaklumkan melalui pihak pengurusan sekolah,” kata Dr. Noor Azmi menerusi kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

Beliau yang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (CITF-C), turut memaklumkan bahawa KPM telah bersetuju untuk membantu mengatur janji temu secara berkelompok untuk vaksinasi di sekolah atau di pusat vaksinasi yang telah dikenal pasti oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah dan Pejabat Pendidikan Daerah. Ia bagi melancarkan pelaksanaan vaksinasi COVID-19.

Bagi mengelakkan kesesakan di PPV, hanya salah seorang ibu atau bapa atau penjaga dibenarkan menemani kanak-kanak untuk tujuan vaksinasi. KKM turut menasihatkan ibu bapa memastikan kanak-kanak yang akan divaksinkan mendapat rehat pada malam sebelumnya, bersarapan pagi dan meminum air secukupnya sebelum ke PPV.

Mengenai perkembangan PICKids yang telah dimulakan secara rasmi di peringkat Kebangsaan pada 3 Februari lalu, setakat semalam seramai 79,393 kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun telah menerima dos 1 vaksin COVID-19 jenis Comirnaty (Pfizer BioNTech).

PICKids menyasarkan 3.6 juta golongan kanak-kanak kumpulan usia itu bagi melindungi mereka daripada jangkitan teruk COVID-19 dan memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan, sekali gus mencegah kejadian kluster dalam kalangan warga sekolah.

“Pencapaian tertinggi adalah di Selangor 28,661 kanak-kanak, diikuti WP Kuala Lumpur & Putrajaya 17,887 kanak-kanak, Sarawak 17,877 kanak-kanak, Sabah 4,962 kanak-kanak, Melaka 3,425 kanak-kanak dan Negeri Sembilan 2,728 kanak-kanak,” katanya.

Ketika ini, pemberian vaksin kanak-kanak dilaksanakan di pelbagai PPV iaitu di hospital, klinik kesihatan, PPV Integrasi dan PPV off-site.

Media Baharu