fb fb fb fb fb

PICKids: 397 kanak-kanak terima vaksin COVID-19

PETALING JAYA, 21 Jun- Seramai 397 kanak-kanak telah menerima vaksin COVID-19 pada hari pertama pembukaan semula Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids), semalam.

Daripada jumlah tersebut, 150 kanak-kanak baru sahaja mencapai usia lima tahun.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, pembukaan semula program tersebut bertujuan memberi peluang kepada ibu bapa yang sebelum ini tidak berkesempatan mendapatkan vaksin COVID-19 untuk anak masing-masing.

"Ada juga mungkin masyarakat yang terpinggir dan tidak mendapat maklumat sebelum ini.

"Oleh yang demikian, kita telahpun bersetuju untuk buat kempen secara terhad selama lima hari bagi memastikan mereka yang mungkin terlepas peluang untuk mendapatkan vaksin bagi kanak-kanak mereka diberikan kemudahan tersebut," katanya.

(Khairy)

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Pembukaan semula program tersebut dilaksanakan selama lima hari iaitu hingga 24 Jun ini bersempena Minggu Imunisasi Kebangsaan 2022.

Kerajaan sebelum ini menamatkan Program PICKids untuk kanak-kanak berumur lima tahun keatas pada 31 Mei lalu.

Media Baharu