fb fb fb fb fb

PETRA, NAHRIM rancang perluas penyelidikan berkaitan mikroplastik

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR, 18 Julai- Sebanyak 39 kertas persidangan berkaitan isu bahan cemar baharu; mikroplastik berjaya dikumpulkan menerusi penganjuran Seminar Mikroplastik Kebangsaan Pertama yang berlangsung pada 15 dan 16 Julai lalu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air,  Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan penganjuran seminar itu tidak hanya tertumpu kepada sumber air dan persekitaran marin, malah memperincikan impak mikroplastik terhadap organisma akuatik dan tanah.

Jelasnya, kementerian melalui Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) akan memperluas penyelidikan berkaitan mikroplastik bagi memastikan isu itu dapat ditangani dengan lebih holistik.  

"Pada ketika ini, masih belum ada had piawaian pematuhan berkaitan bahan cemar baharu mikroplastik di dalam air. Contohnya, proses rawatan air perlu diberi perhatian bagi menjamin kualiti air yang selamat. 

"Maklumat daripada hasil penyelidikan NAHRIM sangat penting bagi tujuan penambahbaikan dan pengukuhan garis panduan, polisi dan akta sedia ada dalam usaha Kerajaan mengawal pencemaran plastik dan juga mikroplastik bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan persekitaran air,"katanya.

Tambahnya, kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia juga akan dilaksana bagi pengumpulan data primer pencemaran mikroplastik dalam sumber air mentah di Malaysia.

Datuk Seri Fadillah berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Ledang, Syed Idid Syed Noh berhubung peranan PETRA untuk mengetengahkan isu microplastik yang merupakan bahan pencemar baharu dan menjadi ancaman kepada sumber dan bekalan air.

Sementara itu,  beliau memaklumkan satu jawatankuasa bakal diwujudkan untuk mengkaji secara menyeluruh mengenai bahan cemar baharu termasuk mikroplastik.

Beliau berkata, jawatankuasa itu berperanan mengenalpasti bahan cemar baharu yang berisiko memberi kesan kepada kesihatan manusia serta alam sekitar di negara serta meneliti tindakan penguatkuasaan dan langkah pencegahan yang boleh diambil secara bersepadu.

"Bidang kuasa ini kita perlu selaraskan melalui jawatankuasa untuk kita mengambil tindakan bersepadu bagaimana kita hendak tangani, pertama kenal paasti apakah bahan cemar baru dan bagaimana kita hendak pantau apakah tindakan untuk kita ambil supaya kita boleh ambil tindakan secara bersepadu dari segi penguatkuasaan dan juga langkah-langkah pencegahan.

"Apa saja standard yang ada sekarang ini mungkin tidak mampu untuk melindungi bahan-bahan baru yang yang mencemar, jadi kita kena tambah baik dan ini akan dilaksanakan secara bersepadu bawah jawatankuasa yang bakal kita wujudkan nanti,"katanya ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE