fb fb fb fb fb

Pelabuhan Bintulu kini milik Sarawak, Timbalan Premier ucap terima kasih kepada PM, MOT

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Douglas Uggah

KUCHING, 18 Julai- Pelabuhan Bintulu kini bawah bidang kuasa negeri Sarawak.

Ini berikutan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 dan Rang Undang-Undang Pengisytiharan Suatu Kawasan Dalam Daerah Bintulu Menjadi Suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 di Dewan Rakyat semalam.

Timbalan Premier Datuk Douglas Uggah menerusi satu kenyataan media mengucapkan tahniah kepada Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas komitmen tinggi untuk menjadikan Pelabuhan Bintulu sebagai pelabuhan negeri Sarawak.

Beliau berkata, perkembangan terbaharu itu adalah kejayaan cemerlang dan bersejarah bagi Sarawak.

Datuk Douglas turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas persetujuan menyerahkan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak serta Menteri Pengangkutan Anthony Loke atas kerjasama dalam proses kelulusan RUU berkenan.

Datuk Douglas yang juga Menteri Infrastruktur dan pembangunan Pelabuhan bagaimanapun menambah masih banyak yang perlu dilakukan untuk memudahkan proses pemindahan aset dan pengurusan Pelabuhan Bintulu yang lama.

Tambahnya Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan untuk memastikan semua proses pertukaran status pelabuhan tersebut berjalan lancar.

Jawatankuasa khas tersebut akan dibantu oleh Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Teknikal.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE