fb fb fb fb fb

PETRA laksana 40 projek di Pahang, 25 di bawah JPS

Timbalan Menteri PETRA, Akmal Nasrullah Mohd Nasir / Foto RTM

KUANTAN, 10 September – Sebanyak 40 projek sedang dilaksanakan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di seluruh Pahang tahun ini.

Timbalan Menteri PETRA, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata daripada jumlah tersebut, 25 projek dilaksana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pahang.

“Setakat ini, ada 25 projek yang sedang berjalan di bawah PETRA dan JPS Pahang, termasuk 13 projek sambungan dan 12 projek baharu yang memulakan kerja awalan pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Pahang, di sini.

Tambah Akmal, kesemua 25 projek di bawah JPS Pahang itu dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM4.1 bilion dan akan diselesaikan secara berfasa.

Projek yang diserahkan termasuk Rancangan Tebatan Banjir Lembah Bertam - Sungai Ringlet, Cameron Highlands, bernilai RM50.07 juta, yang melibatkan kawasan seluas 71,227 hektar bagi mengatasi masalah banjir kilat dan banjir lumpur di tiga mukim.

Turut diserahkan ialah Kerja Mencegah Hakisan Pantai Sepat, Kuantan, sepanjang 1,200 meter dengan kos RM1.57 juta.

Selain itu, PETRA juga menyerahkan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kuantan, Fasa 2 Pakej 1, melibatkan kawasan seluas 1,255 hektar yang sering mengalami banjir dengan kos RM108.96 juta.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN