fb fb fb fb fb

Pesta Songkran dicadang masuk dalam kalender pelancongan Kedah

(Foto BERNAMA)

ALOR SETAR, 13 April- UMNO Kedah menggesa pentadbiran kerajaan negeri memasukkan Pesta Songkran yang disambut setiap tahun oleh masyarakat Siam ke dalam kalendar tahunan pelancongan negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pesta yang disambut pada 13 April setiap tahun mempunyai keunikan tersendiri dan mempunyai daya tarikan pelancong.

"Kedah bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) mengiktiraf sumbangan dan sokongan masyarakat Siam dalam kemajuan, pembangunan serta keamanan Kedah dan Malaysia.

"UMNO Kedah menggesa pentadbiran kerajaan negeri sekarang melihat kepada kepentingan sumbangan masyarakat Siam di negeri ini daripada segi kepentingan eko-pelancongan menerusi budaya dan adat resam mereka iaitu sambutan pesta itu," katanya menerusi kenyataan media.

Jelas Mahdzir, sumbangan masyarakat Siam di negeri itu tidak boleh dipinggirkan sama sekali walaupun jumlahnya minoriti berbanding kaum lain.

Ini kerana masyarakat Siam yang berasimilasi di Kedah sejak sekian lama telah menjadikan Kedah sangat unik khususnya menerusi pelbagai acara kebudayaan.

Selain itu kata Mahdzir, sikap toleransi, muafakat dan kerjasama yang diamalkan masyarakat Siam, telah mewujudkan jalinan kesatuan, perpaduan dan keamanan di Kedah.

Tambahnya, Thailand meraih keuntungan sektor pelancongannya setiap tahun menerusi acara tersebut hingga menjadi acara yang ditunggu-tunggu pelancong asing untuk berkunjung ke negara itu.

Untuk rekod, Kedah mempunyai jumlah penduduk masyarakat Siam paling ramai di negara ini iaitu lebih 40,000 orang.


(Foto BERNAMA)

Media Baharu