RANTAU PANJANG, 26 Februari- Seramai 34 pesawah terpaksa menanggung kerugian lebih RM500,00 apabila anak benih padi yang baru berusia sebulan ditenggelami air akibat
banjir sejak petang semalam di Kampung Luar, Gual Periok dan Kampung
Tersang, di Rantau Panjang.
Menurut Ketua Unit (pesawah) Kampung Luar, Azli Jaafar, ia melibatkan kawasan seluas 160 hektar ditenggelami air separas 1.5 meter sehingga tiga meter itu sekali gus memusnahkan keseluruhan tanaman padi membabitkan dua kampung berkenaan.
Katanya, ia adalah banjir di luar jangka, malah golongan pesawah sudah mengambil inisiatif melewatkan proses taburan anak benih dan semaian padi yang sepatutnya dilakukan pada Januari.
Katanya para petani tidak menyangka keadaan itu berlaku kerana keadaan cuaca sebelum ini agak panas.
"Masalahnya sekarang tenggelam dengan kes bencana lah, yang kita bimbang sekali. Kalau air cepat surut Insya-Allah mungkin ada yang boleh pakai ada yang tak boleh pakai kita runsing kawasan kita ni jadi termenung lambat surut", kata Azli.
Tinjuauan ke lokasi sawah mendapati paras air yang membanjiri tapak semaian semakin tinggi, melenyapkan tanaman sekali gus memperlihatkan kawasan berkenaan seakan-akan sungai susulan hujan yang lebat dan angin kencang.
Sementara itu, bagi Saari Ismail, 70 tahun, dia bersyukur kerana sempat menyelamatkan jentolak padi miliknya dengan dibantu anak lelakinya, dua pam enjin air tenggelam begitu sahaja.
"Dulu tak teruk, batas dia tidaklah sampai di bendang tu habis-habis dalam pun setakat lutut saja, lepas surut air boleh buat (tabur anak benih) boleh lagi, ini tak ada harapan dah dan ni kalau macam ni," kata Saari.
Bagi Zahari Harun, 69 tahun pula, beliau terpaksa berputih mata selepas dua jentolak miliknya dan anak benih padi ditenggelami air.
Mereka berharap pihak bertanggungjawab dapat membantu golongan pesawah yang terkesan oleh bah kali ini kerana sudah buntu memikirkan modal untuk memulakan semula penanaman.