fb fb fb fb fb

Perwakilan PBB membuat lawatan sulung ke Myanmar

(Gambar diambil dan dikeluarkan oleh Yangon People's Strike pada 8 Ogos 2022)

MYANMAR, 16 Ogos- Perwakilan khas PBB baharu ke Myanmar memulakan lawatan pertamanya ke negara itu hari ini, sehari selepas mahkamah junta menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap pemimpin demokrasi yang digulingkan Aung San Suu Kyi atas alasan rasuah.

Kenyataan PBB yang dikeluarkan pada Isnin menyebut, tumpuan Noeleen Heyzer "adalah untuk menangani situasi buruk yang membiimbangkan namun masih memberikan keutamaan kepada mandat lain."

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menjelaskan siapa yang bakal ditemui Heyzer dalam kalangan pemimpin tertinggi junta atau mungkin akan bertemu Suu Kyi.

Semalam mahkamah junta mengenakan hukuman penjara enam tahun menjadikan keseluruhan hukuman penjara yang perlu Suu Kyi jalani kepada 17 tahun.


(Gambar dikeluarkan oleh Kementerian Penerangan Myanmar pada 26 Mei 2021 menunjukkan
pemimpin demokrasi Aung San Suu Kyi yang ditahan di mahkamah Naypyidaw)

Menurut sumber diplomatik, Heyzer dijangka mengadakan mesyuarat di ibu kota yang dibina tentera Naypyidaw namun butiran lanjut tidak dinyatakan.

Bulan lalu tindakan junta telah mencetuskan kecaman antarabangsa apabila melaksanakan hukuman mati kepada Phyo Zeya Thaw, bekas ahli parlimen daripada parti Liga Demokrasi Kebangsaan Suu Kyi, atas kesalahan undang-undang antikeganasan.

Susulan itu, Majlis Keselamatan PBB termasuk sekutu junta iaitu Rusia dan China mengeluarkan kenyataan keras yang jarang berlaku terhadap junta.

Heyzer seorang ahli sosiologi Singapura dilantik oleh Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres pada tahun lalu sebagai Perwakilan khas PBB baharu ke Myanmar, menggantikan diplomat Switzerland, Christine Schraner Burgener.

Schraner Burgener juga pernah menggesa PBB untuk mengambil "langkah berani" terhadap tentera dan telah menjadi sasaran media kerajaan Myanmar.

Sejak rampasan kuasa berlaku, diplomat Switzerland itu telah disekat oleh Jeneral Min Aung Hlaing daripada melawat negara itu, dan berharap untuk bertemu dengan Suu Kyi.

Disember lepas media kerajaan melaporkan junta telah menutup pejabatnya di negara itu "sejak perkhidmatan Christine Schraner Burgener ditamatkan".

Bagaimanapun, PBB masih belum memberi kebenaran kepada Heyzer untuk membuka pejabat di Myanmar. -AFP

Media Baharu