KUALA KRAI, 11 Jun- Kelulusan peruntukan tambahan RM200 juta kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), ia disambut baik semua pihak termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai.
Sokongan kerajaan terhadap TVET dilihat memberi peluang kepada pelajar untuk menambung pengajian mereka dalam bidang yang lebih luas.
Pengetua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai Ismail Deraman berkata, industri 4.0 telah membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan peluang praktikal dalam bidang TVET sejajar dengan dana yang diberikan oleh kerajaan untuk memacu perkembangan program itu.
"Sebenarnya pengumuman itu sangat mengembirakan kami kerana memang MRSM khusunya MARA sentiasa mengangkat TVET. Ia dilihat sebagai sebahagian besar daripada program yang mempunyai masa depan yang cerah kepada negara.
"Penguguman kerajaan dengan menambah dana adalah sangat betul dan kita harap ramai pelajar akan mendapat peluang untuk melaksanakan praktikal," katanya kepada pemberita di sini.
Dalam pada itu pelajar-pelajar yang ditemui RTM menyambut baik usaha kerajaan itu dan berharap supaya kerajaan dapat meluaskan lagi bidang TVET untuk meraka menyambung pelajaran di masa akan datang.
Bagi Nurin ilminabiha Che Husin, dia berpendapat program itu boleh meningkatkan kebolehpasaranan bidang TVET di Malaysia.
"Saya yakin dan percaya bahawa hanya pihak kerajaan boleh menjalankan lebih banyak kempen untuk meningkatkan dan melestarikan lagi nama dalam bidang TVET di Malaysia," katanya.
Sementara itu Aqil Darwish Mohd Hishamri merasakan program itu memberikan peluang sama rata kepada pelajar yang ingin menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
"Sangat berterima kasih kepada kerajaan sebab dengan dana yang kerajaan ini, ia dapat menarik minat pelajar untuk masuk TVET dan mengembangkan lagi pendidikan, mungkin ke luar negara," katanya.
Di Melaka, peruntukan berkenaan dilihat sebagai ruang untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir.
Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Muhammad Adeeb Sahiran berkata, peluang itu memberikan peluang kepadanya untuk terus menyambung pelajaran.
"Sebagai seorang lepasan SPM, saya sangat gembira dengan perkara yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia memberikan lebih peluang kepada kami untuk menyambung pelajaran," katanya.
Amiraul Syafiq Leman pula berpendapat, peluang berkenaan bakal memberikan peluang kepada golongan sasar untuk menceburi TVET.
"Ia memberi lebih banyak peluang dan peluang kepada anak-anak muda seperti kami untuk menceburi bidang TVET. Saya rasa amat bersyukur dan terima kasih," katanya.
Pada masa sama pemain industri bagi program itu di Negeri Sembilan menyokong penuh inisiatif kerajaan.
Timbalan Pengarah Giatmara Negeri Sembilan Ts Saiful Redzuan Abd Shukor berkata, program itu merupakan bidang yang memerlukan perbelanjaaan besar terutama dalam usaha memperkasa bidang berkenaan.
Berita gembira itu semestinya memperlihat bahawa kerajaan kini meletakkan TVET sebagai salah satu bidang utama dalam pembangunan sahsiah golongan belia.
"Secara umumnya, pengumuman itu sangat mengujakan sebab, kita dapat penambahan bajet. Latihan kemahiran memang memerlukan dana besar untuk naik taraf teknologi baru.
"Ia semestinya menggunakan bajet yang sangat besar khusunya apabila kita tiada kepakaran tempatan, sebab dana itu boleh digunakan untuk peningkatan infrastruktur dan latihan TVET," katanya.
Dalam pada itu, pembiayaan tambahan yang akan disalurkan menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) bidang berasaskan peralihan tenaga, industri berasaskan teknologi dan digital, industri elektrik dan elektronik bernilai tinggi, pertanian dan industri asas tani serta industri nadir bumi dilihat sebagai aset dalam melahirkan golongan belia berkemahiran yang mampu membantu menjana ekonomi negara.
Pegawai Latihan Kemahiran GiatMara Negeri Sembilan Intan Farhana Abu Karim berkata, bidang teknologi tinggi seperti kenderaan elektrik (EV) dan kecerdasan buatan (AI) sememangnya memerlukan kos yang besar.
"Kami cukup gembira dengan peruntukan berkenaan, dan ia juga merupakan cabaran besar untuk kami berikutan untuk mendalami bidang EV dan AI ia memerlukan kos yang besar.
"Pengumuman itu memberikan sedikit kelegaan dan ia memperlihatkan kerajaan memandang serius berkenaan pendidikan TVET," katanya.