fb fb fb fb fb

Peruntukan segera banjir turut bantu golongan wanita dan OKU - Nancy

(Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri ketika menjadi 
tetamu dalam program Naratif Khas di Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 21 Disember - Peruntukan segera sebanyak RM500,000 bukan sahaja boleh dimanfaatkan oleh penduduk terjejas banjir Terengganu dan Kelantan.

Malah menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, peruntukan itu juga akan digunakan untuk membantu golongan wanita dan orang kurang upaya (OKU) di kedua-dua negeri terbabit.

"Ini bukan berkenaan dengan bencana saja, ini berkaitan dengan golongan sasaran kita di mana kita ada wanita terutama sekali wanita yang mengetuai keluarganya, mereka yang masa COVID-19 itu dah kehilangan pekerjaan, ada juga OKU, ada juga mereka yang memang menjadi usahawan tapi ada mereka yang menjadi usahawan ini adalah yang tidak ada lesen lah, jual goreng macam makcik Kiah itu orang kata kan, jadi kita ada memberi bantuan itu, Insya-Allah kami beri kepada golongan sasaran ini dan sebab itu kita nak membantu mereka supaya mereka dapat meneruskan aktiviti mereka untuk meneruskan kehidupan mereka," kata beliau ketika menjadi tetamu dalam program Naratif Khas, di Angkasapuri Kota Media, di sini malam tadi.

Sebelum ini Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meluluskan Perolehan Darurat sebanyak RM500,000 bagi membiayai keperluan segera serta bantuan kepada penduduk terjejas banjir di Terengganu dan Kelantan.


(Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri)

Dalam pada itu, Nancy bertekad mahu memanfaatkan sebaiknya peluang menerajui KPWKM untuk terus menyumbang bagi pembangunan masyarakat dan negara.

Sehubungan itu, beliau ingin memberi fokus kepada institusi kekeluargaan bagi pembentukan masyarakat yang bernilai murni.

"Bagi saya institusi keluarga ini adalah amat penting sekali dalam kehidupan masyarakat kita kerana mereka lah yang mewujudkan 'the base' untuk kita sebagai sebuah keluarga dan kalau kita melihat daripada kekeluargaan itu ianya terus pergi kepada anak-anak, kalau kita mempunyai satu institusi kekeluargaan di mana apa yang kita buat di sini sebagai satu keluarga yang mengamalkan nilai-nilai positif maka ianya akan melimpah kepada masyarakat di luar sana," jelas beliau.

Nancy berkata institusi kekeluargaan adalah tulang belakang kepada pembangunan insan ke arah pembentukan masyarakat dan negara yang sejahtera.

Media Baharu