fb fb fb fb fb

Peruntukan RM41.8 juta untuk kuaters JIM Johor

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

JOHOR BAHRU, 8 November - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) memperuntukkan RM41.8 juta bagi memperoleh pangsapuri 72 unit di Johor Bahru untuk dijadikan kuarters JIM Johor.

Perolehan pangsapuri dijalankan secara "en bloc" (keseluruhan) daripada Pembangunan Hartanah Perbadanan Islam Johor, seterusnya membantu menyelesaikan isu kekurangan kuarters dalam kalangan warga JIM Johor.

Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kesemua unit akan dilengkapi perabot dan peralatan elektronik dan dijangka boleh didiami dalam tempoh tiga bulan lagi.

Kemudahan kuarters itu juga dapat meringankan beban warga JIM Johor ekoran kos sara hidup tinggi di Johor Bahru.

Hingga kini terdapat 145 warga JIM masih dalam senarai menunggu untuk menduduki kuarters.

"Yang bertugas di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) yang 24 jam beroperasi itu yang mempunyai pengisian bilangan pegawai dan kakitangan paling tinggi iaitu 1,116 orang, daripada jumlah keseluruhan kakitangan JIM Johor 2,858. Jadi kami harap usaha untuk menyediakan kemudahan perumahan, untuk kakitangan JIM johor ini dapat mewujudkan tempat tinggal yang lebih selesa," kata Saifuddin dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Pembelian Secara En Bloc Pangsapuri tersebut di sini.

Saifuddin turut memberitahu hingga kini 73% unit kuarters JIM seluruh negara telah diisi melibatkan 500 daripada keseluruhan 697 unit.

Beberapa unit belum dihuni kerana sedang diselenggara serta dalam proses transisi keluar masuk penghuni.

TETITIA YUSOFF