fb fb fb fb fb

Peruntukan RM3 juta diluluskan untuk bina bangunan baharu PPK Bukit Awang

 

PASIR PUTEH, 21 Februari - Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi pembinaan bangunan baharu Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Awang di Pasir Puteh, Kelantan.

Menurut Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, pembinaan itu bagi menggantikan bangunan asal PPK tersebut yang telah uzur.

Katanya, bangunan asal PPK Bukit Awang telah dibina sejak tahun 1978 dan kini sudah berusia 43 tahun.

PPK Bukit Awang merupakan pembekal terbesar tanaman cili bagi syarikat Nestle dan mencatatkan keuntungan yang besar bagi kawasan tersebut.

"Ia mencatatkan keuntungan yang sangat besar bagi (kawasan) Bukit Awang dan dengan itu kita minta supaya kerajaan meluluskan peruntukan untuk bina bangunan yang sempurna dan ada dewan serta seumpamanya dan Alhamdulillah baru-baru ini kerajaan memutuskan untuk memberi peruntukan RM3 juta dan hari ini kita serah cek replika untuk PPK Bukit Awang," katanya selepas Program Penyerahan MAFI Prihatin anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Kelantan di perkarangan Pejabat Pusat Ahli Parlimen Pasir Puteh, di sini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Operasi LPP, Nik Mohd Shaharil Nik Md Hashim dan Pengarah LPP Kelantan, Mohd Hanifa Awang Su.

Mengulas lanjut, Nik Muhammad Zawawi berkata LPP Kelantan telah menyerahkan bantuan MAFI Prihatin kepada lebih 2,000 ahli di beberapa PPK seluruh negeri itu dengan nilai bantuan sebanyak RM104,110.

Media Baharu