PUTRAJAYA, 21 Februari - Kementerian Pendidikan (KPM) belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Jidin.
Radzi Jidin berkata, pihaknya kini sedang meneliti pendekatan bersesuaian berkaitan PT3 yang boleh dilaksanakan dengan mengambil kira tahap penguasaan murid.
"Belum ada sebarang keputusan berkaitan dengan PT3," katanya selepas menghadiri majlis pelancaran Sekolahku SEJAHTERA, di sini hari ini.
Sebelum ini tular di media sosial yang memaklumkan PT3 akan diadakan semula bagi 2022 pada Oktober hingga November sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi daripada ibu bapa dan masyarakat.
(FOTO FB RADZI JIDIN)
Oleh itu, katanya KPM akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada esok bagi memperincikan penggunaan sekolah menengah untuk Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor tidak lama lagi.
"Perbincangan awal telah telah diadakan antara kedua belah pihak bagi memastikan persiapan peperiksaan tidak terganggu dan berjalan dengan baik.
"Ini bagi memastikan susun atur tidak diganggu kerana kita khuatir susunan indeks kedudukan pelajar dan sebagainya akan menjejaskan proses pelaksanaan peperiksaan itu nanti," katanya
"Jika terpaksa guna, kita ada pendekatan yang akan kita gunakan namun begitu kita cuba elakkan kerana tempoh masa tidak banyak, hari Ahad sahaja yang ada (susun semula meja kerusi).
"Meja-meja peperiksaan telah disusun atur dengan teliti mengambil masa yang lama dan rombakan kepada susun atur meja tersebut yang kemudiannya disusun balik dalam masa sehari bukan sesuatu yang mudah kerana susunan meja dan kerusi ada cara dan peraturannya," kata Radzi.
SPR mengumumkan sebanyak 151 sekolah menengah telah dipilih dan akan digunakan sebagai pusat pengundian bagi PRU Dewan Negeri Johor Ke-15 .