fb fb fb fb fb

Peruntukan RM3.45 juta, pelaksanaan Smart G- Tuisyen dan Program Makanan Percuma di Perak


IPOH, 17 Februari
- Sebanyak RM3.45 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Perak bagi melaksanakan Smart G- Tuisyen dan Program Makanan Percuma kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata inisiatif kerajaan negeri bersama enam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), memberi tumpuan dalam membantu pelajar dari golongan keluarga B40 dan M40.

Antara GLC yang terlibat adalah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak sebanyak RM1 juta, Lembaga Air Perak (RM750,000) Perbadanan Menteri Besar Perak (RM700,000), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (RM500,000), dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (RM100,000).

'Inisiatif ini secara tidak langsung akan memberikan manfaat kepada 33,119 orang murid di seluruh negeri Perak selama 20 hari sebelum mereka mengambil SPM pada 20 Mac nanti yang turut melibatkan murid-murid sekolah tahfiz seramai 232 orang murid.

"Program ini juga memberi tumpuan membantu murid atau pelajar berprestasi sederhana dengan meningkatkan potensi dan keupayaan mereka dalam akademik," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Smart G- Tuisyen dan Program Makanan Percuma Pelajar SPM, SVM, STPM dan STAM 2021  di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di Ipoh.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Ahmad Saidi Mohamad Daud.

Saarani berkata kesemua inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri adalah bagi memastikan setiap pelajar  mempunyai hak yang sama untuk belajar dalam persekitaran pembelajaran dan pengajaran tanpa halangan  tidak kira di bandar mahu pun luar bandar.

Media Baharu