fb fb fb fb fb

Peruntukan RM20 juta atasi masalah air Kelantan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KOTA BHARU, 2 Mei - Kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi mengatasi masalah air di Kelantan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu yang semakin meruncing terutamanya ketika negara berdepan musim kemarau akan disegerakan bagi memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri itu.

Jelas Perdana Menteri antara projek yang menjadi keutamaan adalah penambahbaikan sistem pengairan di kawasan pertanian Kemubu (KADA).

Kearah itu beliau bersetuju supaya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk melihat kaedah terbaik bagi menyelesaikan isu tersebut.

"Sebab itu saya setuju, kita ketepikan perbedaan politik dan tumpu rakyat dan tidak benar tohmahan mengatakan kata kita abaikan mana-mana negeri. Bekalan air kepada rakyat masalah besar dan kemarau berpanjangan memerlukan beberapa tindakan segera.

"Antara projek yang menjadi keutamaan di negeri Kelantan adalah penambahbaikan sistem pengairan di kawasan pertanian Kemubu. Oleh itu, saya bersetuju supaya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melihat kaedah terbaik bagi menyelesaikan isu ini yang dijangka melibatkan kos sebanyak RM20 juta," katanya.

Anwar berucapa pada majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Negeri Kelantan di RTC Tunjong, di sini.

Perdana Menteri berkata beliau juga berhasrat untuk menoktahkan baki lebih 1,000 Ketua Isi Rumah dalam kategori miskin tegar di Kelantan dalam tempoh dua bulan lagi.

"Saya mahu menoktahkan kemiskinan tegar berkenaan bagi membolehkan mereka mampu membeli makanan dan pakaian… oleh itu, saya minta senarai dalam kategori ini," katanya.

Beliau berkata Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri Datuk Azman Ibrahim memaklumkan bahawa perkara itu boleh diselesaikan dalam tempoh dua bulan.

"Saya juga berterima kasih kepada Kerajaan Kelantan kerana tidak mahu negeri itu ketinggalan daripada Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Pulau Pinang, Perak dan Johor yang dapat menoktahkan kemiskinan tegar," katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

TETITIA YUSOFF