LABUAN, 15 Oktober - Hampir RM50,000 peruntukan kewangan disalurkan Perbadanan Labuan untuk membaik pulih infrastruktur Balai Raya Kampung Sungai Miri, berikutan dilanda puting beliung, hujung Ogos lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, pihak Perbadanan Labuan telah turun padang dan menyampaikan bantuan awal kepada mangsa yang terlibat.
Jelasnya, kejadian itu turut menyebabkan bencana teruk di lokasi berlainan membabitkan rumah kediaman, bangunan sekolah dan fasiliti serta infrastruktur yang lain.
Katanya, pelbagai pihak telah meninjau lokasi berkenaan bagi menilai bantuan yang akan disalurkan, khususnya pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
"Oleh itu, usaha membaik pulih kemudahan seperti balai raya ini akan dilakukan secepat mungkin agar penduduk dapat menggunakannya semula untuk menjalankan pelbagai aktiviti mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Balai Raya Kampung Sungai Miri di sini.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu.
