KUALA LUMPUR, 18 Februari- Perunding pengurusan projek telah dilantik bagi meneliti pelaksanaan projek Fasa 2 Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata JENDELA Fasa 2 itu akan diteliti sebaiknya bagi memastikan pelaksanaan yang lebih baik.
Jelas beliau, pihaknya mengambil maklum beberapa aspek yang perlu ditambah baik menerusi pelaksanaan JENDELA Fasa 1.
Sehubungan itu, penambahbaikan tersebut akan dijadikan panduan untuk JENDELA Fasa 2.
"Kita mungkin tidak bergantung harap kepada infrastruktur seperti menara-menara telekomunikasi seperti dalam fasa 1. 60 meter, 76 meter. Dan bagi fasa 2, kita mungkin akan teliti penyelesaian yang fit for purpose.
"Mungkin satu-satu kawasan itu jumlah penduduknya memerlukan penyelesaian yang berbeza. Mungkin bentuk buka buminya yang mencabar. Dan mungkin ada setengah perkara kita akan beri kelonggaran kepada syarikat-syarikat nanti untuk laksanakan.
"Kita dapati dalam JENDELA Fasa 1, ada beberapa perkara mereka terlalu longgar, ada beberapa perkara mereka terlalu 'rigid'.
"Jadi kita mengambil maklum dan mengambil iktibar," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian Pusat Pelanggan Persendirian Premier Bank OCBC di sini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang meneliti beberapa perkara akhir, sebelum mengeluarkan surat kelulusan kepada syarikat U Mobile Sdn Bhd untuk pelaksanaan rangkaian kedua 5G.
"Bagi pihak U Mobile, business plan telah diberikan lebih awal dan saya difahamkan pihak U Mobile juga telah membuat beberapa pengumuman tentang tarikh permulaan pelaksanaan rangkaian 5G.
"Bagi pihak MCMC, kami dalam proses untuk meneliti beberapa perkara akhir sebelum satu surat akan dikeluarkan untuk membolehkan pihak U Mobile meneruskan pelaksanaan pembinaan rangkaian 5G kedua.
"Jadi, kita jangkakan mungkin dalam tempoh seminggu dua ini," katanya lagi.