LONDON, 2 Jun - Perubahan dasar pentadbiran Amerika Syarikat (AS) membuka peluang kepada Malaysia untuk meneroka kelebihan sistem pendidikan di negara lain.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini termasuk meneroka peluang baharu di United Kingdom (UK).
"Saya mempunyai pendekatan apabila kita melihat ada ancaman, sentiasa ada peluang. Kita perlu melihat dari sudut yang berbeza.
“Dalam keadaan yang beginilah saya fikir sistem pendidikan yang ada di United Kingdom di mana yang telah kita pelajari akan kita pergunakan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pre council bersama delegasi Malaysia, sempena lawatan kerja empat hari ke UK.
Sebelum ini, Majlis Amanah Rakyat (MARA) memutuskan untuk menghentikan penghantaran pelajar tajaan ke Amerika Syarikat bermula tahun ini susulan pengenalan dasar baharu Presiden Donald Trump
Pelajar tajaan MARA peringkat pra-universiti yang sebelum ini dirancang untuk melanjutkan pengajian ke Amerika Syarikat akan dipindahkan ke negara lain seperti United Kingdom, New Zealand, Australia, Jepun dan China.
Sementara itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET) akan memanfaatkan lawatan kerja di UK bagi mempertingkat kemahiran dalam bidang TVET.
"Malaysia akan menghantar pensyarah dari Universiti Kuala Lumpur dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka ke UK untuk mengikuti kursus jangka pendek dan panjang.
"Ia termasuk dalam bidang kesarjanaan dan doktor falsafah menerusi kursus teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT), robotik serta tenaga hijau," katanya.