fb fb fb fb fb

Pertanian, penternakan moden boleh rancakkan ekonomi N. Sembilan

(Rafizi Ramli)

PORT DICKSON, 31 Mei- Kerajaan Negeri Sembilan perlu mengambil peluang memperluas sektor pertanian dan penternakan moden bagi merancakkan ekonomi di negeri itu, sekaligus membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, dalam usaha itu Kerajaan Persekutuan sedang mendapatkan kerjasama daripada pelabur bagi dua sektor tersebut yang melibatkan syarikat swasta.

Jelas beliau, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu bekerjasama dalam aspek penyediaan tapak dan bantuan lain dalam usaha memperkasa sektor tersebut.

"Dalam pertanian kadang-kadang bukan soal sayur sahaja, permintaan paling tinggi sebenarnya adalah bekalan daging, yang ini kita banyak import sehingga kira-kira 80% daging. Kita sedang membangunkan dan berusaha mendapatkan pelabur dari luar negara untuk datang dalam sektor penternakan di Negeri Sembilan," katanya kepada media selepas hadir ke Majlis Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Ke-12 (2021-2025) (KSP RMKe-12) Peringkat Negeri Sembilan di Hotel Lexis Hibiscus Port Dickson, di sini.

Beliau dalam ucapannya turut menyarankan kerajaan negeri untuk meneroka dua sektor lain iaitu tenaga baharu dan digital bagi meningkatkan pendapatan ekonomi negeri.

Tambah Rafizi, Negeri Sembilan mempunyai potensi lebih berbanding negeri-negeri lain, kerana kedudukan strategik yang berdekatan dengan Lembah Klang.


(Rafizi Ramli (dua kanan) hadir ke Majlis Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Ke-12
Peringkat Negeri Sembilan di Hotel Lexis Hibiscus Port Dickson)



Media Baharu