SEREMBAN, 17 Januari - Pertandingan Tulisan Kaligrafi Cina Sempena Tahun Baru Cina 2025 yang dianjurkan Sekolah Tinggi Chung Hua Seremban, merupakan acara simbolik sempena Tahun Baru Cina yang akan disambut tidak lama lagi.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Utama Aminuddin Harun berkata, program yang menjadi acara tradisi sekolah tersebut menyaksikan keindahan suasana sekolah serta kemesraan warga sekolah mempromosikan seni kaligrafi kepada masyarakat tempatan.
"Walaupun berlainan bangsa, ia tidak menjadi halangan kerana seni kaligrafi dapat menghubungkan sesiapa sahaja atas nilai kesenian dan kebudayaan. Bahkan ia akan meluaskan lagi perkembangan ilmu seni kaligrafi ini merentas bangsa dan budaya yang hidup bawah panji Malaysia yang tercinta.
"Ini menunjukkan keharmonian antara rakyat Malaysia dapat dibentuk melalui acara silang budaya seperti ini, di mana setiap rakyat Malaysia akan saling menghormati budaya dan tradisi orang lain tanpa sebarang prejudis," kata Aminuddin.
Beliau berucap demikian pada majlis perasmian Pertandingan Tulisan Kaligrafi Cina Sempena Tahun Baru Cina 2025, di Sekolah Tinggi Chung Hua, di sini.
Tambahnya, tahun 2025 merupakan Tahun Zodiak Ular dalam kalendar Cina dan ia menonjolkan sifat kepintaran dan kebolehan dalam menyusun strategi.
Justeru, ia perlu dimanfaatkan pihak Sekolah Tinggi Chung Hua Seremban dengan melaksanakan pelbagai strategi yang dapat mengembangkan kemenjadian murid dan seterusnya membangunkan kemudahan pendidikan sekolah selari dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.