KUALA LUMPUR, 17 Januari- Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini memperkenalkan pelbagai sorotan program yang akan diketengahkan pada 2025 seiring perkembangan semasa menerusi program What's New.
Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, program itu bertujuan merapatkan hubungan antara RTM, penaja dan agensi untuk menjayakan rancangan berkualiti selain mengangkat jenama tempatan dan antarabangsa.
"Apabila kita buat satu program berkualiti sudah tentu jenama-jenama yang lain mahu jenama mereka sama-sama ke depan bersama-sama dengan produksi yang bagus dari RTM.
"Itu yang sebenarnya yang kita buat pada hari ini, jadi kita sempat berjumpa dengan agensi dan juga syarikat-syarikat yang mahu bekerjasama dalam mengetengahkan kerjasama dengan jenama RTM dengan pasukan produksi yang bagus," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis What's New di Angkasapuri Kota Media di sini.
Dalam pada itu, beliau juga menekankan kejayaan sesebuah program perlu mendapat sokongan daripada semua pasukan terlibat termasuk penaja.
Sementara itu berkenaan Kepengerusian ASEAN, RTM dijangka akan mengadakan satu konsert di Auditorium Seri Angkasa yang menggabungkan penyanyi-penyanyi dari negara ASEAN.
"Saya pasti konsert ini akan ditunggu ramai kerana kita akan bekerjasama dengan penyiar dari negara-negara ASEAN.
"Kita menjangkakan kira-kira 10 penyanyi dari negara ASEAN akan berkolaborasi dengan Orkestra RTM dan membuat persembahan pada konsert berkenaan," katanya lagi.