fb fb fb fb fb

Pertambahan jumlah pengundi, tingkat peratusan keluar mengundi

KUALA LUMPUR, 19 Oktober - Pertambahan jumlah pengundi dijangka bakal meningkatkan peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Bagaimanapun menurut Pensyarah Ekologi Manusia, Ketua Unit Advokasi IPSAS Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, cabaran paling getir adalah memastikan jangkaan itu tidak meleset.

Katanya, meskipun terdapat seramai 1.2 juta pengundi baharu antara usia 18 hingga 20 tahun serta penambahan bilangan 5.8 juta pengundi daripada usia 21 tahun dan ke atas yang didaftarkan secara automatik, itu bukan penentu kepada graf peningkatan peratusan pengundi.

Sebaliknya, ia bergantung kepada sejauh mana keberkesanan usaha untuk meyakinkan rakyat keluar mengundi.

(Dr Mohd Izani ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1)

"Jadi untuk PRU15 ini...kita ada 7 juta pengundi baharu yang akan mengundi buat kali pertama. Jadi ,dengan pertambahan jumlah pengundi ini kita merasakan bahawa sangat pentinglah mereka ini keluar mengundi, kerana undi mereka ini akan memberikan keabsahan kepada kerajaan yang sedia ada.

"Jadi, kalaulah peratusan mengundi itu merosot, ataupun sangat rendah, jadi keabsahan legitimasi kerajaan itu akan dipersoalkan. Tidak kiralah sesiapa dan parti mana yang menang sudah tentu mereka mahukan majoriti pengundi memberikan sokongan kepada mereka.

Jadi, 7 juta ini kita harus gandakan usahalah supaya mereka bersemangat untuk keluar mengundi dan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai warganegara dan rakyat Malaysia.," kata Dr Mohd Izani di sini.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil pula berpendapat bahawa perlu ada pendekatan baharu kepada kaedah mengundi.

Antara yang boleh dipertimbangkan termasuk menyediakan medium mengundi secara dalam talian, yang disifatkan lebih mesra dengan pengundi muda pada era ini.

(Dr Jamaie)

"Pengundi yg berusia 18 tahun ini...atau 19 dan 20 begitu, sebenarnya mereka belum cukup kematangan dalam mengundi, kan. Jadi, peranan ibu bapa ataupun peranan media akan memberikan satu gambaran yang jelas kepada mereka untuk membuat pilihan dalam pilihan raya.

Kalau ia dilakukan secara dalam talian, mungkin ia akan memberikan impak yang begitu besar kepada keputusan pilihanraya di PRU15 ini. Tetapi kalau mereka itu diminta untuk turun mengundi seperti biasa, saya fikir mungkin ada faktor-faktor lain yang akan mempengaruhi undi 18 ini untuk menentukan sebuah kerajaan yang akan dibentuk pasca PRU15 nanti," katanya.

Media Baharu