PETALING JAYA, 16 Mei- Penyertaan Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) pada penganjuran Hari Wartawan Nasional 2022 (HAWANA) 29 Mei ini bukan saja bagi menyokong bidang kewartawanan tanah air bahkan menjadikannya sebagai platform terbaik mengetengahkan wartawan wanita yang menjadi tulang belakang merakam sejarah dan peristiwa penting negara.
HAWANA 2022 akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Melaka selepas kali pertama ia diadakan pada 2018 bagi mengiktiraf peranan golongan wartawan dan pengamal media Malaysia.
Presiden PERTAMA, Sariha Mohd Ali berkata, persatuan itu akan memanfaatkan sepenuhnya perhimpunan terbesar golongan wartawan dan pengamal media tanah air kerana ia akan melibatkan penyertaan rakan setugas dari negara serantau dan koresponden asing di negara ini.
“Ini peluang terbaik menjadikan PERTAMA lebih dikenali bukan saja dalam kalangan pengamal media tempatan, tetapi juga di luar negara memandangkan HAWANA 2022 juga disertai wartawan dari negara jiran termasuk Indonesia.
“Kami mahu mengintai peluang untuk bekerjasama dengan persatuan wartawan dari luar negara dalam usaha memantapkan lagi pembabitan wartawan wanita dengan membina rangkaian pada peringkat antarabangsa,” katanya selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) PERTAMA di sini pada Sabtu.
HAWANA 2022 dianjurkan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan sokongan daripada Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).
Bersempena sambutan HAWANA, ISWAMI Malaysia mengundang 17 pemimpin utama media dari Indonesia termasuk ISWAMI Indonesia untuk menghadiri program-program yang dirancang.
(Foto fail)
Sariha berkata, PERTAMA juga akan berusaha menarik lebih ramai wartawan wanita muda di negara ini menyertai persatuan itu sebagai platform bagi mengukuhkan jaringan petugas media pelbagai organisasi sekali gus menjaga kebajikan mereka.
Beliau berkata pelbagai program dirancang bagi menggerakkan semula PERTAMA selepas dua tahun sepi akibat kekangan pandemik COVID-19.
“PERTAMA konsisten memberi pelbagai bantuan kepada rakan media wanita yang mengalami masalah termasuk membabitkan kematian ahli keluarga, kemasukan ke hospital dan sumbangan haji serta pelbagai manfaat lain.