PARIS, 22 Jun - Pelancaran Measat 3d bakal beri liputan internet 100 peratus selaras pelan jendela. Satelit komunikasi MEASAT-3d yang dibina atas model satelit Eurostar 3000 oleh Airbus sedia untuk dilancar, menggunakan roket Ariane 5.
MEASAT-3d yang ketika ini berada Agensi Angkasa Eropah di Kourou, French Guiana bakal dilancarkan pada pukul 6.03 minit petang waktu Perancis 22 Jun bersamaan 5.03 minit pagi waktu Malaysia 23 Jun iaitu esok.
Ketika ini, MEASAT Satellite Systems Sdn Bhd bersama AIRBUS sedang melakukan persiapan bagi memastikan pelancaran satelit ke-8 negara itu berjalan lancar.
(Foto Measat FB)
Satelit MEASAT-3d mempunyai jangka hayat 18 tahun dan dibangunkan dengan kos RM1.2 bilion dengan menggunakan model satelit Eurostar 3000 oleh Airbus.
Secara keseluruhanya pelancaran ini akan mengambil masa 39 min, 57 saat untuk tiba di kedudukan 3804 km dari bumi. Selepas ia dilancar, measat 3d akan mengambil masa 25 minit untuk disuntik ke orbit. Pada minit ke 28 pemisahan MEASAT-3d akan dilakukan. Seterusnya measat 3d akan ditempatkan di ‘orbital hotslot’ 91.5 darjah Timur bersama satelit MEASAT-3a dan MEASAT-3b.
Menurut Ketua Pegawai Operasi MEASAT, Yau Chyong Lim, beliau berharap pelancaran ini akan berjalan dengan lancar
"Kita berharap pelancaran akan berjalan dengan lancarnya. Dengan Measat 3-d ini kita berharap akan capai inisiatif jendela dengan liputan internet 100 peratus di Malaysia. Kita hadapi banyak cabaran pandemik, seperti konflik Rusia Ukraine, oleh sebab itu pelancaran telah tertangguh selama sebulan. Tapi sekarang semua dah sedia, kiraan terakhir untuk satelit diadakan. Harap ia semua akan berjalan lancar seperti yang dirancang," katanya
Selepas MEASAT 3d ditempatkan di ‘Orbital Hotslot’ 91.5 darjah Timur, MEASAT dan AIRBUS akan melakukan percubaan terhadap MEASAT-3d bagi memastikan ia berfungsi seperti yang ditetapkan.
Tempoh percubaan akan dilakukan selama sebulan dan MEASAT-3d dijangka akan beroperasi sepenuhnya pada pada akhir julai atau ogos in. Dengan pelancaran satelit ini, beberapa perkhidmatan baharu menerusi satelit berkenaan dijangka dapat ditawarkan seawal Ogos 2022.