fb fb fb fb fb

Persatuan perniagaan, pengusaha restoran bantah tindakan FOMEMA naikkan yuran

Presiden Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan

KUALA LUMPUR, 20 Januari- Persatuan perniagaan termasuk pengusaha restoran membantah tindakan FOMEMA Sdn Bhd (FOMEMA) menaikkan kadar yuran dan kekerapan pemeriksaan perubatan pekerja asing kerana keputusan itu dibuat tanpa sebarang perbincangan dengan pihak berkepentingan.

Presiden Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan yang mewakili semua persatuan berkenaan berkata, persatuan hanya mengetahui tentang kenaikan yuran kesihatan setiap tahun untuk pekerja apabila melawati laman web FOMEMA.

“Pihak persatuan perniagaan juga rasa terkilan kerana sehingga kini, tiada pengumuman rasmi daripada pihak berkuasa kerajaan yang berkaitan berhubung kenaikan yang dibuat oleh FOMEMA yang telah berkuat kuasa mulai 16 Disember tahun lepas.

“Sebelum ini, pekerja asing perlu membuat pemeriksaan kesihatan sehingga tiga tahun secara berterusan dan tidak perlu melakukan sebarang pemeriksaan kesihatan sehingga tujuh tahun.

"Ia kemudian ditukar kepada setiap tahun secara berselang-seli, bermaksud jika tahun ini sudah buat, tahun depan tidak perlu tetapi kini FOMEMA menukar pula kepada setiap tahun.

Tambahnya, FOMEMA juga secara unilateral menaikkan yuran sebanyak 10 peratus kepada 14 peratus.

"Oleh itu, majikan perlu menanggung kos kira-kira RM414 juta setahun untuk pemeriksaan perubatan FOMEMA bagi kira-kira dua juta pekerja asing,”katanya.

Justeru itu, katanya persatuan perniagaan menggesa pihak berkaitan mengadakan perbincangan atau konsultasi terlebih dahulu dengan pemegang taruh sebelum membuat sebarang keputusan atau perubahan.

“Kami membantah keputusan tersebut dan menyeru FOMEMA mengekalkan yuran dan kekerapan pemeriksaan kesihatan untuk pekerja asing seperti dahulu," tegas Jawahar.

Yuran pemeriksaan perubatan pekerja asing yang dicaj oleh FOMEMA ialah RM190 bagi lelaki dan RM207 untuk wanita meliputi saringan HIV, Hepatitis B, sifilis dan kehamilan termasuk penggunaan opiat serta kanabis.

Ia kemudiannya dinaikkan kepada RM207 bagi lelaki dan RM217 bagi perempuan serta diperluas kepada tiga kategori baharu iaitu filariasis (cacing gelang), Hepatitis C dan metamfetamina.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE