fb fb fb fb fb

Jangan terpedaya sindiket penipuan haji dan umrah melalui media sosial - Menteri Agama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar

SEPANG, 19 Januari - Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memandang serius isu yang melibatkan kes penipuan melibatkan jemaah yang ingin menunaikan ibadah haji dan umrah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya bertekad untuk menangani kegiatan penipuan ini menerusi kerjasama erat dengan Tabung Haji, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta syarikat berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

"Insya-Allah Tabung Haji akan bekerjasama lebih rapat dengan PDRM dan juga MOTAC untuk memastikan mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab ini akan dibawa ke muka pengadilan.

"Saya juga sudah bercakap dengan rakan sejawat saya, Datuk Armizan untuk kita bincang dan lihat ruang dan peluang bagaimana penguatkuasaan terhadap mereka-mereka yang menipu dalam pakej haji dan umrah ini boleh dihukum dan dibawa ke muka pengadilan dan mereka, bakal-bakal haji dan umrah yang telah ditipu akan mendapat hak mereka itu semula sama ada boleh menunaikan haji atau pun umrah ataupun duit mereka ini dipulangkan kepada mereka semula," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Pengelola Jemaah Haji (Karnival PJH) 1445H/2024M, di Hotel Movenpick, di sini.

Mohd Na’im turut mengingatkan orang ramai yang ingin ke tanah suci untuk mengambil pakej melalui 25 syarikat PJH yang telah dilesenkan oleh Tabung Haji .

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN