fb fb fb fb fb

Persatuan pengguna sokong papar harga ubat elak dimanipulasi

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 2 MEI Kumpulan persatuan pengguna di Malaysia menyambut baik pelaksanaan Perintah Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan (Penandaan Harga bagi Ubat) 2025, yang dianggap sebagai satu pencapaian penting ke arah ketelusan, akauntabiliti, dan pemerkasaan pengguna dalam sektor kesihatan.

Peraturan baharu yang berkuat kuasa 1 Mei (Khamis) itu, digazetkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011, yang mana mewajibkan semua fasiliti kesihatan swasta dan farmasi komuniti memaparkan harga bagi semua ubat kegunaan manusia termasuk ubat preskripsi, ubat tanpa preskripsi, ubat tradisional dan suplemen kesihatan.

Mereka menyifatkan undang-undang ini sebagai langkah penting untuk menangani isu lama berkaitan ketidaktelusan harga dan perbezaan harga yang besar sehingga merugikan pengguna.

“Paparan harga adalah mekanisme maklumat, bukan kawalan harga. Ini adalah hak asasi pengguna untuk mengetahui, didengari, memilih dan selamat terhadap barangan yang digunakan,” jelas kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Dengan kadar inflasi perubatan di Malaysia mencecah 15 peratus yang jauh melebihi purata serantau dan global, ketelusan harga ubat dianggap langkah awal penting untuk mengekang kenaikan harga tidak munasabah dan melindungi perbelanjaan isi rumah.

Menurut mereka, undang-undang itu diperkenalkan selepas proses konsultasi awam selama lebih lima tahun.

"Pada asalnya, Kementerian Kesihatan mencadangkan mekanisme rintis untuk menghadkan kadar mark-up ubat preskripsi sumber tunggal, namun cadangan itu digugurkan selepas mendapat tentangan hebat daripada industri dan beberapa badan profesional," katanya.

Tambah kenyataan itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menyarankan kawalan harga ubat terutamanya dalam sektor swasta, kerana kewujudan pembekal tunggal sering kali mengakibatkan harga melambung tinggi sehingga membebankan pesakit dan sistem kesihatan.

Persatuan pengguna turut menegaskan bahawa isu paparan harga ubat tidak wajar dikaitkan dengan pendapatan doktor.

“Dasar ini tertumpu hanya pada harga ubat, bukan pada yuran konsultasi atau pendapatan profesional kesihatan seperti doktor. Pendapatan doktor berkait dengan yuran konsultasi, kos operasi dan kualiti perkhidmatan, bukan daripada mark-up ubat tersembunyi,” katanya.

Ketelusan harga dijangka meningkatkan keyakinan awam terhadap sistem kesihatan swasta serta memberi manfaat kepada pesakit dan penyedia perkhidmatan yang beretika.

Sebagai seruan bersama, kumpulan pengguna menggesa semua penyedia kesihatan mematuhi undang-undang ini serta mengajak orang ramai menyokong langkah penting ini dengan melaporkan sebarang ketidakpatuhan kepada pihak berkuasa.

“Kami akan terus bekerjasama dengan KPDN dan Kementerian Kesihatan untuk memantau pelaksanaan mekanisme paparan harga ini,” tambah mereka.

Mereka menyeru semua pihak berganding bahu demi mewujudkan sistem penjagaan kesihatan yang lebih adil, telus dan mampu milik untuk semua rakyat Malaysia.

GRACE AISYAH KEDAYAN