fb fb fb fb fb

Perpustakaan harus jadi pusat wacana, bukan sekadar simpan buku – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa pustakawan di rantau ASEAN untuk menjadikan perpustakaan sebagai gedung ilmu yang lebih menarik dan mampu memupuk minat membaca dalam kalangan generasi muda.

Menurut beliau, perpustakaan tidak seharusnya hanya berfungsi sebagai tempat menyimpan buku, tetapi perlu berkembang sebagai pusat budaya, ilmu dan wacana intelektual yang aktif.

“Apabila pelajar sampai ke perpustakaan, pustakawan mesti memikat mereka. Perkenalkan buku-buku dan galakkan mereka membaca. Bukan sekadar tempat untuk simpanan senyap, tetapi juga sebagai ruang berdiskusi dan bertukar idea,” katanya.

Anwar turut menyokong usaha mewujudkan perpustakaan digital ASEAN, seiring perkembangan teknologi dalam bidang perpustakaan. Beliau juga menghargai pendekatan menyediakan bilik belajar yang membolehkan pelajar berbincang dalam perpustakaan, tanpa mengganggu pengguna lain.

Tambah beliau, pustakawan kini perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam memperkenalkan kandungan yang relevan serta memanfaatkan teknologi digital untuk menarik lebih ramai pembaca.

Perdana Menteri berkata demikian semasa merasmikan Persidangan dan Mesyuarat Kongres Pustakawan Asia Tenggara ke-19 (CONSAL XIX) di sini, hari ini.

CONSAL XIX yang bertemakan ‘Memanfaatkan Inklusiviti, Memperkasa Kemanusiaan’, merupakan acara tiga tahun sekali dan platform kerjasama serantau utama bagi para profesional perpustakaan di seluruh ASEAN.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD