KANGAR, 15 Jun - Perpaduan rakyat berbilang kaum serta agama adalah tonggak dan aset utama negara MADANI.
Justeru, usaha berterusan semua lapisan masyarakat diperlukan bagi mempertahankan perpaduan.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, usaha itu bukan hanya tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi perlu digerakkan semua pihak.
Titah Baginda, program seperti Minggu Perpaduan perlu diteruskan setiap tahun agar masyarakat khususnya di Perlis menikmati keindahan perpaduan yang sebenar selain dapat memperkasa penghayatan Rukun Negara.
Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail melawat reruai di Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Negeri Perlis - Foto BERNAMA
"Kita sedar bahawa cabaran kepada perpaduan semakin kompleks dari isu perkauman dan fahaman ekstremisme, maka itu inisiatif seperti Minggu Perpaduan ini harus dijadikan landasan.
"Ini bagi memperkukuh interaksi antara kaum, memperluas jalinan kemasyarakatan dan menggalakkan pemahaman antara komuniti," titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Perlis di Dataran Datuk Sheikh Ahmad, di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, diiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasami.