fb fb fb fb fb

Permohonan teruskan Elaun Lokum sedang dipertimbang - KKM

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 21 Februari- Pelaksanaan projek rintis pemanjangan waktu operasi klinik berdekatan hospital pada tahun lepas, telah diteliti dan permohonan untuk meneruskan pembayaran Elaun Lokum, sedang dalam pertimbangan.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, pegawai perubatan yang diarah bertugas pada hari Sabtu dan Hari Kelepasan Am masih layak menuntut Elaun Lokum.

Manakala pada hari Ahad melibatkan waktu bekerja bermula pukul 9.00 pagi hingga 1.00 petang, boleh menuntut cuti gantian tertakluk kepada kelulusan Ketua Jabatan.

Projek rintis tersebut, telah dilaksanakan bermula 25 Mac hingga 31 Disember tahun lepas, selepas mengambil kira isu kesesakan di hospital.

"Dalam tempoh ini, pegawai perubatan yang bertugas pada hari Ahad telah diberi kelulusan khas secara bertempoh dalam projek rintis, bagi membolehkan Elaun Lokum dibayar sekiranya mereka diarah bertugas secara lokum.

"Selain itu, pegawai farmasi dan juru X-ray dalam kumpulan pengurusan dan profesional juga diberi pemanjangan Elaun Lokum pada kadar yang berbeza," kata kenyataan itu.

Perkar itu setelah mengambil kira isu kesesakan di hospital termasuk di Selangor, kerajaan menerusi Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR), bersetuju untuk KKM melaksanakan projek itu di klinik kesihatan yang berdekatan dengan hospital.

"Projek rintis itu melibatkan Klinik Kesihatan Bandar Botanik, Klang (yang berdekatan dengan Hospital Tengku Ampuan Rahimah), Klinik Kesihatan Taman Ehsan, Gombak (yang berdekatan dengan Hospital Selayang) dan Klinik Kesihatan Ampang, Hulu Langat (yang berdekatan dengan Hospital Ampang)," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun KKM prihatin untuk memastikan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik di klinik kesihatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI