KUALA LUMPUR, 25 Oktober- Permohonan kemasukan ke 1,334 institusi Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara bagi pengambilan Januari 2024 akan dibuka pada 30 Oktober hingga 13 November 2023.
Permohonan boleh dilakukan melalui portal Unit Pengambilan TVET (UP_TVET).
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mustapha Sakmud berkata lebih daripada satu tawaran kursus akan diberikan kepada calon untuk memilih, selepas selesai membuat permohonan.
"Mungkin ada disenaraikan lima dan jika tidak memenuhi kriteria kita, ia tidak akan tolak sebaliknya kita akan carikan kursus yang bersesuaian dengan sijil dan keputusan calon.
"Saya tegaskan, sistem ini tidak akan menolak mana-mana pemohon," kata Mustapha kepada pemberita selepas menjadi tetamu Biz Malaysia di Angkasapuri Kota Media, hari ini.
Calon diberikan kebebasan untuk memilih institusi yang berdekatan dengan tempat tinggal mereka sekali gus membantu urusan kewangan yang lebih baik terhadap calon.