PETALING JAYA, 26 Jun – Jumlah permohonan bagi kemasukan ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi sesi pengambilan Julai 2025 mencatatkan peningkatan mendadak apabila lebih 189,000 permohonan diterima, berbanding hanya sekitar 25,000 tahun lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, peningkatan ketara permohonan itu menggambarkan kepercayaan rakyat terhadap pendidikan teknikal sebagai pilihan utama, selaras dengan inisiatif kerajaan memartabatkan TVET sebagai salah satu tunjang pembangunan negara.
Menurut beliau, bagi pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang tidak berjaya mendapat tempat di universiti awam kerana kekangan kapasiti, peluang kemasukan ke institusi di bawah Malaysian Technical University Network (MTUN) akan ditawarkan.
"Antara institusi yang terlibat termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), khususnya di bawah seliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
"Peluang ini terbuka kepada semua kaum, selaras dengan pendekatan inklusif kerajaan dalam memperkasa modal insan negara," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan MEXCLUB Bil. 1/2025 dan Majlis Peluncuran Program Desa Kirana@KKDW di Hotel Sunway Putra, Petaling Jaya.
Tambah beliau, UniKL menawarkan kursus dalam bidang teknikal manakala UPTM pula menyediakan program dalam bidang profesional, membuka ruang kepada pelajar untuk memilih laluan bersesuaian dengan minat dan pencapaian akademik masing-masing.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut memaklumkan, pelajar STPM yang memperoleh keputusan baik boleh memohon kursus asas di kedua-dua institusi berkenaan, sebagai platform untuk meneruskan pengajian tinggi dalam bidang teknikal dan profesional.