PETALING JAYA, 26 Jun - MBSB Bank terus mencatat kemajuan dalam pelan transformasinya dengan 30 daripada 38 program transformasi berjaya dilaksana.
Ini termasuk 24 daripada 27 inisiatif pasca penggabungan bersama MIDF, satu petunjuk jelas kemajuan dalam penyatuan operasi, penambahbaikan sistem dan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap.
"Kami memulakan pelan transformasi tiga tahun pada 2024, dan tahun pertama mencatat Pulangan Atas Ekuiti (ROE) 4.2% serta dividen 6.4%. Kami juga berkongsi kemajuan lima bulan pertama 2025.
"Pemegang saham menunjukkan minat tinggi dengan soalan-soalan terperinci mengenai strategi dan cabaran kami."kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Rafe Haneef, selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-55, di Petaling Jaya, Selangor.
Tahun Kewangan 2024 menyaksikan peningkatan hasil 31%, dipacu lonjakan pendapatan bukan dibiayai sebanyak 318% dan pertumbuhan 27% dalam pendapatan dibiayai.
Keuntungan sebelum cukai pula meningkat 5%, hasil daripada peluasan portfolio dan kawalan kos yang lebih ketat.
Jumlah pembiayaan mencecah RM43 bilion, manakala nisbah CASA buat kali pertama melepasi dua digit kepada 11.1%.
Pada masa sama, MBSB terus memacu inovasi digital dengan menaik taraf platform perbankan MJourney serta memperluas penawaran produk perbankan pengguna sepanjang tahun 2025.
Bagi sektor Perusahaan, Kecil dan Sederhana (PKS), MBSB menyediakan pembiayaan aeroangkasa bernilai
RM1 bilion.
Dalam agenda kelestarian, MBSB telah menggerakkan RM4.73 bilion pembiayaan hijau, mencapai 47% daripada sasaran 2026 serta merekodkan pengurangan 12% pelepasan karbon.
Melangkah ke hadapan, syarikat kewangan itu fokus memperkukuh pendapatan berasaskan yuran, kawalan kos, dan pertumbuhan strategik, sejajar komitmennya terhadap pendigitalan dan perbankan yang inklusif.