LENGGONG, 30 Jun – Aktiviti perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang akan dilaksanakan di Perak tidak akan menjejaskan alam sekitar, tegas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurut beliau, semua aktiviti perlombongan akan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, selain menggunakan teknologi moden yang mesra alam.
“Kita tidak akan berkompromi dalam soal kepentingan rakyat, walaupun perlombongan nadir bumi ini berpotensi besar menjana hasil kepada negeri. Kaedah baharu yang diguna pakai tidak akan melibatkan penebangan pokok atau gangguan terhadap hutan simpan. Tidak timbul isu lombong tinggal atau kerosakan alam sekitar seperti dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan Laporan Kemajuan Tahun Ketiga Perak Sejahtera 2030, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saarani menegaskan teknologi perlombongan baharu itu tidak mengakibatkan hakisan tanah atau tanah runtuh, kerana kawasan hutan simpan yang terlibat kekal terpelihara sepanjang proses dijalankan.
“Pokok tidak ditebang, kawasan tidak diusik dan teknologi kini mampu memberi jaminan. Kalau ada mana-mana pihak langgar SOP dan merosakkan alam sekitar, kerajaan negeri tidak akan benarkan projek itu diteruskan,” katanya tegas.