
KANGAR, 22 Januari – Seramai lima juta pelancong disasarkan mengunjungi Perlis sempena Tahun Melawat Perlis 2026 menerusi penganjuran hampir 40 program di peringkat negeri dan antarabangsa sepanjang tahun ini.
- Sasar lima juta pelancong melalui hampir 40 program negeri dan antarabangsa sepanjang Tahun Melawat Perlis 2026.
- Kempen "Hampa nak pi mana? Mai Lah Perlis" fokus pada lima komponen termasuk pengembaraan alam semula jadi dan agro pelancongan.
- Pelanjutan program hingga akhir 2026 selaras Tahun Melawat Malaysia 2026, mempromosi festival dan acara utama negeri.
Sasaran itu digerakkan melalui kempen “Hampa nak pi mana? Mai Lah Perlis” yang berteraskan lima komponen utama iaitu Pengembaraan dan Pelancongan Alam Semula Jadi, Agro Pelancongan dan Citrawarna Perlis, Relaksasi, Destinasi Ketenangan Jiwa dan Keindahan Alam serta Membeli-belah dan Warisan.
Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, Kerajaan Negeri telah mengumumkan pelanjutan pelaksanaan program Tahun Melawat Perlis 2024-2025 sehingga penghujung tahun 2026, selaras dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurutnya, pelanjutan itu sekali gus membuka peluang lebih luas kepada pelancong domestik dan antarabangsa untuk menikmati kepelbagaian tarikan unik yang terdapat di negeri berkenaan.
“Antara program utama yang bakal menjadi tumpuan pelancong termasuk Pesta Sauk Sotong Perlis, Konvensyen Sunnah Antarabangsa, Pesta Angin Timur Perlis, Festival Layang-Layang Antarabangsa, Festival Rakyat, Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis dan Festival Canggung Kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Tahun Melawat Perlis 2026 dan Kalendar Acara Pelancongan 2026 yang berlangsung di Dewan Warisan, di sini.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, diiringi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil.