fb fb fb fb fb

Perlis perkasa sumber perikanan darat

Program Kolaborasi Pelepasan Benih Ikan Baung di Santuari Ikan Air Tawar, Timah Tasoh, yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli

PADANG BESAR, 26 Jun- Jabatan Perikanan Negeri Perlis terus memberi penekanan serius terhadap aspek pengurusan dan pemuliharaan sumber perikanan darat di negeri ini.

Sejak tahun 2022, sebanyak 715,700 benih ikan lampam, baung dan udang galah telah dilepaskan ke perairan Tasik Timah Tasoh sebagai inisiatif pemuliharaan berterusan yang turut menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi nelayan tempatan.

Menurut Exco Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan Negeri, Razali Saad, langkah tersebut mampu memastikan kelestarian sumber perikanan darat dan menjamin bekalan makanan yang mampan.

"Mudah-mudahan dengan apa yang kita berikan ini, kerajaan berikan dan juga di bawah inisiatif daripada Pengarah Perikanan bersama kerajaan Persekutuan… kesemuanya adalah satu rangkaian yang baik untuk manfaat masyarakat di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Kolaborasi Pelepasan Benih Ikan Baung di Santuari Ikan Air Tawar, Timah Tasoh, yang turut disempurnakan oleh Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Program pelepasan benih ikan merupakan acara tahunan anjuran Jabatan Perikanan Negeri Perlis di pelbagai lokasi seluruh negeri bagi memastikan sumber ikan air tawar dan udang galah kekal stabil dan mencukupi.

Santuari Ikan Air Tawar Timah Tasoh kini menjadi antara lokasi utama bagi peminat aktiviti perikanan rekreasi serta pelancong, khususnya kaki pancing dari dalam dan luar negeri.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE