fb fb fb fb fb

Perlis kuat kuasa larang pembelian bahan api berulang

Foto hiasan

KANGAR, 28 Jun- Perlis menjadi negeri kedua larangan pembelian diesel dan petrol RON95 secara berulang selepas Kelantan.

Larangan yang berkuatkuasa hari ini, melibatkan 39 stesen minyak di seluruh negeri itu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam berkata, kesemua pengusaha diminta memberikan kerjasama dengan memastikan penyelewengan itu tidak berlaku.

Selain itu, KPDN juga mempunyai beberapa mekanisme bagi membantu membendung pembelian berulang bahan api berkenaan.

"Kami ada pelbagai kaedah lah untuk mengesan pergerakan tu, sebab macam saya tegaskan tadi, kalau untuk negeri Kedah, Kelantan, Perlis dan Perak kami tempatkan pegawai, dekat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS)

"...kami tempatkan juga pegawai di stesen minyak dan akan mula menguatkuasakan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak," katanya kepada pemberita selepas Sesi Penyerahan Arahan Pengawalan Bekalan kepada Pemilik Stesen Minyak di Perlis di Kompleks Eko Pelancongan Sungai Batu Pahat, di sini.

Selepas Perlis, pelaksanaan tersebut juga akan diperluas ke beberapa negeri sempadan lain seperti Kedah dan Perak dalam masa terdekat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI