KUALA LUMPUR, 28 Jun- Sebanyak 17 institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh China menawarkan pembelajaran Bahasa Melayu sehingga hari ini menjadi bukti negara republik itu yakin dengan sistem pendidikan negara.
Duta Besar Malaysia ke Republik Rakyat China Datuk Norman Muhamad berkata, kejayaan itu disokong Beijing Foreign Studies University (BFSU) yang bertindak sebagai pengasas program Pengajian Bahasa Melayu di China sejak 1961.
"Mengenang jasa BFSU yang telah tersemai sekian lama, maka ia mendorong kehadiran saya untuk berada di sini bagi menzahirkan ucapan terima kasih Kerajaan Malaysia kepada BFSU," katanya ketika berucap dalam bahasa Melayu sempena majlis konvokesyen BFSU di Beijing pada Jumaat.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Ketua Perwakilan Beijing Norfarina Mohd Azmee dan Pengarah Pejabat Education Malaysia-Beijing, Muhammad Sallehuddin Mohd Dilif.
Pada masa sama Norman turut menggalakkan program pertukaran pelajar menerusi pelancongan pendidikan sekali gus dapat menggalakkan penghayatan yang lebih mendalam terhadap aspek bahasa dan budaya.
"Dunia ketika ini berdepan dengan pelbagai cabaran dan isu global, maka pegangan prinsip 'Excellence with a Soul' amat penting dalam membina daya tahan negara dan serantau, serta pembentukan dasar yang mampan.
"Mahasiswa bukan bersandar pada kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya perlu diimbangi dengan aspek sahsiah dan semangat dalam aktiviti kemasyarakatan serta berkongsi kepakaran demi menjadikan dunia lebih baik. selari dengan konsep 'Komuniti Berkongsi Masa Depan' yang digagaskan oleh Presiden Xi Jinping," katanya lagi.
Seramai 3,000 graduan berjaya menamatkan pengajian masing-masing termasuk 35 mahasiswa Malaysia dan 22 mahasiswa China berjaya menamatkan pengajian dalam program Pengajian Melayu di BFSU.
Penempatan Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China di BFSU telah bermula sejak 2007 dan Kerajaan Malaysia telah mengiktiraf universiti itu sebagai Pangkalan Pengembangan Bahasa Melayu di Republik Rakyat China pada 2014.