fb fb fb fb fb

Pelantikan PM ke-10 berdasarkan kuasa wewenang- Anwar

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/PMO)

PUTRAJAYA, 5 Disember- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertindak berdasarkan kuasa wewenang (hak dan kekuasaan) yang ada dalam perlembagaan untuk melantik Perdana Menteri ke-10.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perkara itu perlu dimaklumkan selaras hasrat Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu bagi mengelakkan tohmahan dan kekeliruan tentang fakta serta kronologi pembentukan kerajaan perpaduan ketika ini.


(Sidang Media Perdana Menteri Pasca Mesyuarat Kabinet Pertama Kerajaan Perpaduan 
di Putrajaya/PMO)

“Walaupun diperaku oleh Tan Sri Muhyiddin yang mempunyai 115 (sokongan ahli parlimen) tetapi (ketika itu) belum tempoh had yang ditetapkan. Pada pukul 2.00 petang keesokannya, dimana sembilan ahli parlimen UMNO telah menarik balik sokongan dan pihak GPS (Gabungan Parti Sarawak) telah memberi perakuan untuk menyerahkan kebijaksanaan YDPA untuk memutuskan.

“Maka jumlah itu yang dipertikaikan dan ini yang dimaklumkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu yang kemudian membuat keputusan sebulat suara meletakkkan calon perdana menteri baharu”, jelas Anwar dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet Kerajaan Perpaduan di Perdana Putra di sini.

Tegas Perdana Menteri, sudah sampai masanya untuk menerima kenyataan itu dan tidak mempertikai kuasa dan wewenang serta kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.

“Mempertikai keabsahan adalah tidak sesuai,” tambah Anwar.

Pada 2 Disember lalu, Anwar mengumumkan 28 anggota barisan Kabinet kerajaan perpaduan serta dua timbalan perdana menteri, manakala beliau sendiri memegang portfolio Menteri Kewangan.

Mesyuarat pertama pagi tadi dihadiri kesemua Jemaah Menteri, bermula kira-kira pukul 10.00 pagi.

Media Baharu