fb fb fb fb fb

Perkukuh sektor pelancongan, Pantai Tanjung Bidara bakal berubah wajah

Foto RTM

MASJID TANAH, 14 September - Pantai Tanjung Bidara, Masjid Tanah akan berwajah baharu tahun hadapan.

Transformasi itu akan melalui pembinaan kemudahan baharu di kawasan pantai terbabit dengan penambahan pelbagai kemudahan serta tarikan pelancongan yang terkini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia termasuk pembinaaan Litar Kereta Kawalan Jauh (RC) Tanjung Bidara yang telah siap sepenuhnya bulan lalu.

"Kita akan tambah kemudahan sedia ada dan kita akan luaskan lagi tempat letak kereta untuk memudahkan dengan memberikan kawasan-kawasan tarikan pelancong yang mana akan dilebarkan dan diberikan kepada peniaga-peniaga kecil untuk berniaga", katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Pesta Pantai Tanjung Bidara 2025 yang mengamit kira-kira 25,000 pengunjung sepanjang 3 hari penganjurannya di sini, hari ini.

Tambah beliau lagi, sebanyak 40 pengisian dan program menarik kepada pengunjung disediakan termasuk Majlis Selawat sempena Malam Menyemai Cinta Rasul dan Melaka Personal Water Craft (PWC) Funvaganza Fair 2025 yang menampilkan Pameran Jet Ski
Vintage-Retro, Joy Ride, Flyboard serta Banana Boat.

Turut diadakan Pertandingan Ratu dan Raja Dondang Sayang, Melaka RC Touring Car Championship, Pertandingan permainan tradisional seperti Dam Aji, Konda Kondi, Congkak, Carrom dan sebagainya.

Trainee