Perkukuh rantaian bekalan benteng hadapi ketidaktentuan global

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Usaha memperkukuh rantaian bekalan domestik, meningkatkan pengeluaran tempatan serta mengurangkan kebergantungan kepada import bagi barangan tertentu dilihat sebagai benteng dalam meningkatkan daya tahan ekonomi negara bagi menghadapi ketidaktentuan global pada masa hadapan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gangguan bekalan global menjejaskan pelabuhan, perkapalan dan pembuatan, seterusnya memberi impak kepada rakyat.
  • Rantaian bekalan makanan masih terikat dengan pasaran global; gangguan antarabangsa boleh meningkatkan kos pengeluaran makanan domestik.
  • Gangguan komoditi penting seperti gandum, jagung, minyak masak, baja atau makanan ternakan memberi tekanan kepada kos dan bekalan makanan.
  • Perlu memperkukuh rantaian bekalan dan tingkatkan keupayaan pengeluaran tempatan demi memastikan kestabilan bekalan makanan.

Pengarah Program MBA & DBA, Putra Business School, Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, langkah tersebut penting untuk memastikan bekalan kekal stabil, di samping memperkukuh daya saing ekonomi negara dan meningkatkan keupayaan Malaysia menyesuaikan diri dengan perubahan dalam persekitaran ekonomi global.

“Perkara paling penting yang perlu kita lakukan ketika ini ialah memperkukuh lagi rantaian bekalan domestik bagi mengurangkan kebergantungan kepada import serta memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan dan berdaya saing dalam menghadapi sebarang cabaran global pada masa hadapan,” katanya ketika dihubungi RTM.

Krisis bekalan global yang berlarutan bukan sahaja memberi kesan kepada pelabuhan ia turut menjejaskan syarikat perkapalan dan sektor pembuatan yang akhirnya memberi kesan kepada rakyat.

“Sebahagian besar rantaian bekalan makanan negara masih mempunyai kaitan dengan pasaran global. Justeru, sebarang gangguan di peringkat antarabangsa boleh memberi kesan kepada kos pengeluaran makanan dalam negara. Keadaan itu juga berpotensi menyebabkan sektor perniagaan berdepan peningkatan kos operasi secara keseluruhan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berpandangan bahawa sektor makanan antara sektor yang perlu diberi perhatian memandangkan sebahagian rantaian bekalannya masih dipengaruhi perkembangan di peringkat antarabangsa.

“Sekiranya berlaku gangguan terhadap bekalan komoditi penting seperti gandum, jagung, minyak masak, baja atau makanan ternakan di pasaran global, ia boleh memberi tekanan kepada kos pengeluaran makanan tempatan.

“Sehubungan itu, usaha memperkukuh rantaian bekalan dan meningkatkan keupayaan pengeluaran domestik penting bagi memastikan bekalan makanan negara kekal stabil serta mampu memenuhi keperluan pengguna,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.