fb fb fb fb fb

Perkongsian pintar antara MAIPs dan MAIWP

KANGAR, 10 Jun - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menjalinkan perkongsian pintar bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi melaksanakan program dan inisiatif pembangunan serta bimbingan kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan dan Perlis.

Ini hasil lawatan kerja termasuk perbincangan dua hala bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor serta lawatan ke beberapa lokasi produk usahawan asnaf bimbingan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) di Perlis bersama Timbalan Pengurus Bahagian Pembangunan Asnaf MAIWP, Mohd Rafie Zakaria.

Rombongan MAIWP yang diketuai Mohd Rafie Zakaria turut disertai 8 orang pegawai dan 27 orang penerima bantuan perniagaan daripada pihak MAIWP.


(Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama MAIPs dan MAIWP) 

Kemuncak program ialah apabila peserta lawatan diberikan kesempatan untuk bersua muka dan mengadap Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs di perkarangan Masjid Al Muqarrabin, Behor Empiang sebelum baginda memulakan program rutin kayuhan MAIPs Peduli.

Tambah istimewa, lima orang wakil daripada pihak rombongan MAIWP tidak melepaskan peluang sekali seumur hidup untuk turut mengiringi Tuanku Raja Muda melaksanakan program menjejaki dan menyantuni asnaf terpilih.

Media Baharu