SUBANG, 2 Mei - Perkhidmatan jet di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), di sini akan kembali memulakan operasi pada suku ketiga (S3) tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata LTSAAS kini sedang menjalani proses pengubahsuaian dan pelarasan yang dilakukan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
"Untuk jangka sederhana, kita akan membina terminal baharu di Subang iaitu menggantikan Terminal Skypark. Itu akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk disiapkan. Buat sementara, beberapa pelarasan untuk operasi jet sedang dilakukan mungkin menjelang suku ketiga tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) baharu Execujet, di sini.
Hangar Execujet berkeluasan 149,500 kaki persegi yang terletak di Subang boleh memuatkan sehingga 15 jet perniagaan sederhana dan besar secara serentak, termasuk Dassault Falcon 6X dan Falcon 10X dengan kabin ultra-besar.
Tambah Loke, terminal baharu itu mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk disiapkan. Justeru, beberapa pelarasan sedang dibuat untuk operasi jet itu dimulakan dengan segera.