KUALA LUMPUR, 12 Februari - Anjakan teknologi, latihan peningkatan kemahiran 'upskilling' dan latihan kemahiran semula 'reskilling' akan terus diperkasakan menerusi kerangka Transformasi Politeknik 2023 - 2030.
Pengarah Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Zamzam Mohd Walid berkata langkah itu sebahagian aspek transformasi yang akan dilaksana ke arah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bersepadu dan unggul.
Sekali gus, mewujudkan tenaga kerja kompeten bagi memenuhi permintaan industri dalam bidang latihan dan kemahiran.
"Untuk melakukan kerja, mereka memerlukan kemahiran itu. Jadi di Politeknik ini bahan dan kandungan yang kita ajar itu sesuai antara kedua -dua itu, 'belajar dan buat' sampai mereka mahir dan itu menjadi salah satu rebutan industri sebab separuh daripada tugas mereka telah diambil oleh sistem kita.
"Jadi, pelajar yang masuk ke industri tersebut mereka tidak memerlukan kerja yang banyak sebab pelajar-pelajar itu telah didedahkan lebih awal di peringkat pengajian secara TVET ini. Sekarang ini banyak program-program baharu yang dulu tak ada macam memperbaiki telefon, telefon bimbit jadi sekarang ini lebih berkait kepada teknologi terbaru," kata Dr Zamzam ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri.
Beliau berkata menerusi kerangka Transformasi Politeknik 2023 - 2030 itu, sistem Politeknik Malaysia akan disusun semula dengan memfokuskan aspek teknologi dan inovatif; selaras kemajuan teknologi terkini.
Seterusnya, mencapai sasaran 1 juta graduan Politeknik dilahirkan menjelang tahun 2030.
Sebanyak 36 politeknik beroperasi di seluruh negara ketika ini dengan 309 program pengajian ditawarkan.