fb fb fb fb fb

Perkasa sukan diperingkat sekolah, IPT dan komuniti - PM

PUTRAJAYA, 14 Oktober - Rangkaian antara Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi perlu lebih erat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini bagi membolehkan kegiatan sukan di sekolah, pusat pengajian tinggi dan komuniti, terus disegarkan dan diperkasa.

Anwar berkata negara MADANI hanya akan berkembang sekiranya rakyat diperkasakan, bukan hanya menerusi bidang pekerjaan dan ekonomi sahaja, malah menerusi aspek kesihatan melalui bersukan.

Rakyat juga mahukan keamanan dan negara MADANI merupakan negara yang fokus untuk memacu pertumbuhan dalam pelbagai aspek.

"Saya berharap persatuan sukan, malah kelompok anak muda keseluruhannya seperti sekolah dan universiti dapat merealisasikannya dan sebab itu saya harap ada jaringan antara Menteri KBS, KPM dan KPT, harus ada rangkaian yang lebih erat supaya kegiatan semuanya itu disegarkan.

"Saya lontarkan idea ini (MADANI), kerana saya yakin Malaysia akan selamat, bahagia dan cemerlang, sekiranya kita dapat yakinkan anak muda bangkit sebagai satu kesatuan, semangat perpaduan tulen tanpa mengira kaum dan budaya masing-masing," kata Anwar ketika berucap merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) 2023 bertemakan #FitMalaysia di Dataran Putrajaya di sini.

Lebih 20,000 peserta menyertai program HSN 2023.

sukan
(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) 2023)

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, turut melakukan pelepasan peserta acara larian dan berbasikal.

HSN merupakan agenda nasional, yang disambut secara tahunan pada hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober, dengan hasrat membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup cergas dan aktif, selaras dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau membentangkan beberapa inisiatif dan insentif yang dituntut puluhan tahun untuk kegiatan sukan, dalam Belanjawan 2024 semalam.

Dalam Belanjawan 2024 Malaysia MADANI, Anwar mengumumkan antaranya peruntukan RM72 juta tahun hadapan bagi memperkukuh ekosistem atlet acara podium dan pelaksanaan inisiatif Road to Gold, sebagai usaha menggapai pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik.

Sejumlah RM50 juta juga disediakan bagi menyelenggara dan menaik taraf kemudahan belia dan sukan seluruh negara, serta cadangan pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000.

Media Baharu